Feed

~andai masa dapat berhenti~

by Wiznie Marzuki on Thursday, July 23, 2009, under ,







Hujan di luar masih tidak berhenti. Guruh dan kilat yang sabung-menyabung. Saya masih sendirian menatap skrin, sedang membaca, meneliti dan berfikir. Adik saya sudah lama melelapkan mata. Keletihan setelah pulang bekerja, tambahan pula dia harus ke perjumpaan penduduk selepas waktu kerja yang menuntutnya agar pulang hampir jam11 pada malam ini. Suasana yang gelap dan sejuk sekarang tidak langsung membuat saya rasa ingin melelapkan mata seperti dia yang mungkin lena diulit mimpi.




Biarkan dia lena diulit mimpi. Saya tahu sejauh mana keletihan yang melanda adik kesayangan saya itu. Saya suka melihat dirinya berehat dan terlelap di hadapan saya. Asalkan saya tahu dia selamat dan dia gembira. Itu sudah cukup bagi saya. Saya ingin hatinya tenang dan riang seperti dulu. Begitu juga dengan keluarga saya, ingin sekali saya melihat gelak tawa dan senda gurau dihidupkan kembali di dalam institusi ini.

Saya telah sekian lama menyepi, sepi tanpa sebarang pembaharuan dan berita terkini. Ya, saya akui itu. Saya sering berdolak-dalih. Saya mendengar nasihat orang sekeliling, tapi saya tidak sebenar-benarnya mendengar kerana saya tidak melaksanakan sebarang perubahan sepertimana yang mereka nasihatkan itu. Saya tahu bahawa saya telah hanyut, terlalu hanyut. Dimanakah harus saya melabuhkan sauh kapal saya ini. Atau apakah sauh saya telah hilang? Atau apakah saya memang tidak mempunyai sebarang sauh? Nasihat yang mereka berikan umpama menjirus air ke daun keladi.

Sikap suka bertangguh semakin merebak dalam diri, semakin bercambah menjadi pepohon segar. Sememangnya tidak patut saya biarkan saja tanpa sebarang ubat yang boleh merawat penyakit yang kian hari kian membarah dalam diri ini. Namun, saya masih mencari, mencari sesuatu yang saya sendiri tak pasti apakah ia. Haruskah saya turutkan rasa hati dan pergi? Tidak, sama sekali ini bukanlah penyelesaian kepada masalah yang saya sedang alami sekarang.

Keberanian harus dipupuk dalam diri. Sejak dulu lagi. Kenapa? Kenapa saya masih disini? Kerana takut kepada manusia? Ya, saya memang takut kepada mereka yang bernama manusia itu. Tidak patut, bukan? Mereka hanyalah insan biasa seperti saya. Saya selalu menasihati orang, tetapi seringkali gagal di dalam menasihati diri sendiri.


Saya takut kepada mereka, kerana seringkali saya memandang tinggi dan amalan berbaik-sangka terhadap mereka yang saya terapkan dalam diri. Malangnya, saya tersalah langkah. Saya memandang rendah kepada diri sendiri hanya kerana takut kepada mereka yang dipandang tinggi oleh saya. Mereka cantik, mereka baik, mereka pandai, mereka bagaikan memiliki segalanya. Walhal, saya dan juga mereka sama sahaja. Kita semua mahkluk yang dijadikan olehNYA. Kenapa perlu ada rasa rendah diri yang melampau? Kenapa perlu takut kepada makhluk ciptaanNYA? Setiap daripada kita punya keistimewaan yang tersendiri, masing-masing membawa peranan yang berbeza di bumi ALLAH ini. DIA tidak akan menjadikan kita sia-sia, pasti bertujuan dan tujuannya adalah untuk beribadah kepadaNYA. Turuti perintahNYA dan tinggalkan laranganNYA.


Nama sebenar saya membawa maksud "pertimbangan". Amat sesuai dengan karakter diri saya yang sentiasa mempertimbangkan segalanya. Jika pertimbangan itu diakhiri dengan keputusan positif, maka Alhamdulillah. Tetapi, ini sebaliknya. Timbangan saya itu, seringkali berakhir dengan terawang-awangan. Tiada jawapan mahupun tindakan susulan yang membuatkan diri saya terperangkap dalam natijah yang saya cipta sendiri. Jika sesiapa yang mengenali diri saya, pastinya ungkapan dan jawapan seperti, "biarlah" sangat popular dan sentiasa meniti di bibir saya. Benar bukan? Aduh!


Saya letih. Saya bosan. Saya marah. Saya sedih. Saya kecewa. Saya buntu. Saya keliru. Saya menangis. Saya gembira. Saya ketawa. Saya benci. Saya rindu. Saya geram. Biarkan saya sendiri, seketika.


2 comments for this entry:
  1. gravatar
    deqsu

    "maka bersabarlah dgn cara kesabaran yg sebaik-baiknya"(surah al-maarij:ayat 5)

  2. gravatar
    WiWie

    thanx dik.. mudah2an semuanya akan baik.. insyaAllah.. aminn... :)

~:My Video List:~

Looking for something?

Search the Site

If you can't find what you are looking for, please leave a comment somewhere, subscribe to our feed and hopefully your question will be answered shortly, so please visit again!