Feed

~Tunggu teduh dulu~

by Wiznie Marzuki on Friday, August 28, 2009, under ,






Hasil karya Faisal Tehrani yang mampu menaikkan semangat dan menguatkan jati diri seorang perempuan sekaligus bergelar wanita muslimah yang baik. Salsabila adalah watak utama yang menjadi tunjang di dalam novel ini. Dia adalah seteguh namanya, salsabila yang bererti sungai yang mengalir di dalam syurga, semestinya indah dan kekal di sana.

Buku ini juga banyak memberikan ilmu mengenai tanaman betik. Betik yang mempunyai banyak kegunaannya, daripada pucuk hingga ke akarnya. Saya sendiri baru mengetahui betapa banyak kegunaan betik hasil daripada pembacaan buku ini.

Novel ini jika seimbas bacaan, kita dapat merasakan konflik percintaan yang bersegi-segi yakni melibatkan beberapa orang lelaki yang cuba merebut hati seorang wanita, Salsabila. Namun di sebalik itu, lihat juga kecekalan hati wanita itu sendiri di dalam usahanya mengawal dan menjaga maruah diri di samping ketabahannya menguruskan ladang betik itu sehingga berjaya.




Tak lupa juga, di sebalik konflik percintaannya bersama dua orang rakan karibnya sedari zaman sekolah lagi yang tidak berputus asa ingin memetik bunga ini, hadirnya seorang lelaki yang tidak disangka-sangka turut menyayangi dirinya itu.

Sesungguhnya cinta dan jodoh itu tidak mengenal usia. Sewaktu dia berada di Tanah Haram, secara tidak dirancang lelaki itu turut berada disitu. Alangkah indahnya, mereka berdua bertemu jodoh disana. Persis Saidatina Khadijah r.a, Salsabila melamar bakal suaminya di tempat yang penuh barakah, lalu dilamar kembali oleh bakalnya itu. Segalanya berlaku dalam sekelip mata dan orang yang paling tidak disangka-sangkanya akan memberikan dia ketenangan dan kematangan setelah menjadi isteri di sana. Peristiwa berhadapan dengan kematian ibu tirinya ketika berada di sana juga bagaikan memberi sinar harapan untuk dia bertindak melakukan sesuatu yang benar dalam kehidupannya iaitu berkahwin dengan Sazli.

Saya sendiri sempat berangan seketika dan bagaikan menanam impian dan mimpi yang sama untuk bertemu jodoh di sana. Ah, masakan kisah cinta saya boleh sebegini hebat. Namun, segalanya kuasa Tuhan. Kita mampu merancang, namun tetap DIA yang menentukan. Kita hanya mampu mentadbir diri kita dengan sebaik-baiknya, namun tetap DIA yang mentakdirkan sesuatu ke atas diri kita.

Ketabahannya yang berjaya melayari kehidupan dengan sentiasa berusaha dan bertawakal kepada NYA juga menjadi penyuntik semangat kepada pembacanya untuk tidak berputus asa di dalam menempuh kehidupan yang penuh dengan dugaan. Dugaan yang hanya DIA berikan ke atas hambaNYA yang mana DIA tahu mereka boleh menerima dan menanggungnya.


Sedikit sedutan novel ini:

Maka, apabila Hasan dan Husin sudah mula mengerti, saya memberitahu mereka sebagai seorang ibu. "Bahawa tepatlah kata-kata panglima perang Islam, Rub'ei bin Amar di hadapan Raja Parsi. Islam datang untuk membebaskan manusia dari menyembah sesama manusia untuk menyembah Tuhan yang Esa." Buat seketika anak-anak itu mengerdipkan mata mereka tanda belum mengerti. Saya tidak jenuh menanamkan dalam dasar hati mereka, bahawa asas keimanan ini akan dapat mencanai sikap aqliyyah dan ruhaniyyah demi membina peradaban yang tinggi.

Saya ingatkan anak-anak kecil, generasi baru Islam itu bahawa kesaksian terhadap syahadah akan membibitkan manusia kepada tiga golongan. Hanya satu golongan yang diterima. Biarlah kita bersama mereka. Yang pertama orang-orang mukmin, saya berdoa mereka di jalan dan lingkungan ini. Keduanya orang musyrik, ingkar dan ditutup Tuhan daripada menerima kebenaran Lailahaillallah. Semoga semua dari kita dijauhkan daripada bencana itu. Serta mereka yang berdusta, ada bolak balik dalam hatinya, juga mohon dipinta tidak kita tergelincir dalam jurang maut ini.

Saya tanamkan pada anak-anak ini keimanan. Biarlah ia disebut berulang-ulang kali kerana ia penting. Kerana iman sahaja yang akan membentuk manusia menjadi sempurna. Saya semai sifat qana'ah, kemudian saya bajakan dengan tawaduk atau rendah diri dan saya minta mereka selalu bertawakal. Inti sari kalimah syahadah, inti sari pandangan dunia tauhid, kata saya, supaya mereka tetap ingat dan terpasak dalam kepala sampai bila-bila.

Kalimah itulah, kata saya, akan menjadikan hidup berjalan ke hadapan, kalimah itulah yang akan menjadi penggerak seluruh hidup kita dan menjadi nadinya. kalimah itulah yang akan memberi batas nafsu dan akal. pandangan yang lahir akan memahamkan Islam itu aturcara hidup yang kemas dan makmur kehendaknya.


Di situlah ia bermula. Tidak disini juga ia berakhir. Perjalanan hidup kita masih jauh, menempuh alam-alam lain juga. Cerita ini bukan cerita cinta tiga segi. Ia lebih daripada itu. Saya telah buktikan ia lebih daripada itu. Ia cerita pengorbanan manusia kepada Tuhan, cerita tentang takdir yang sangat manis setelah dikecap.

Ini cerita bagaimana saya menunggu teduh dalam ribut. Ini cerita mengenai hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan Penciptanya. Ini adalah cerita bahawa hakikat seluruh alam semesta ini berasal dari ALLAH dan akan kembali kepadaNYA, tidak dapat tidak. Itulah titik hubungan kita di muka bumi ini, titik hubungan kita dengan insan lain dan juga segala tindakan.

Dunia kita di muka bumi ini hanyalah persinggahan. Kita cuma menunggu berteduh, cukup sahaja bekalan dan tiba masanya, kita juga akan berangkat seperti yang lain-lain.



2 comments for this entry:
  1. gravatar
    nOtCinDeReLLa

    salam wie.. slmt berpuasa..
    buku ni mmg best, first time baca novel yg ada unsur dakwah di celah² kisah cinta dan harian

  2. gravatar
    WiWie

    wa'alaikumussalam norin..
    selamat berpuasa jugak. hehe. yup, btul3. tp, dh byk buku cinta islamik skrg kt pasaran, bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan plak. sekali sekala, kita beralih kpd novel berunsur mcm ni best jugak kan. perspektif bbeza sambil mendidik diri kita jugak kan.. hehe. :) tenkiu dear for the comment.

~:My Video List:~

Looking for something?

Search the Site

If you can't find what you are looking for, please leave a comment somewhere, subscribe to our feed and hopefully your question will be answered shortly, so please visit again!